Warga emas maut, tak sempat ambil cucu di sekolah
Sinar Harian
Februari 5, 2023 07:00 MYT
Februari 5, 2023 07:00 MYT
KOTA BHARU: Seorang warga emas dipercayai dalam perjalanan mengambil cucu di sebuah sekolah maut akibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat Pejabat Pendidikan Daerah Telipot di sini.
Ketika kejadian pada jam 1 petang Ahad itu, mangsa, Abdullah Seman, 71 menunggang motosikal Yamaha Lagenda dari arah Taman Maju ke Masjid Telipot melalui Jalan Telipot.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa ketika tiba di lampu isyarat telah dikesan meneruskan perjalanan ke sekolah.
"Pada masa sama datang sebuah lori dari persimpangan kiri mangsa dan terlanggar bahagian sisi kiri motosikal yang ditunggangnya.
"Kemalangan menyebabkan mangsa terjatuh dan topi keledar tertanggal mengakibatkan kecederaan teruk di bahagian kepala," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Mohd Rosdi memberitahu, warga emas itu kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia untuk bedah siasat.
"Polis kini masih sedang mengesan pemandu lori dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. -Sinar Harian