Warga emas maut, suami dirawat di ICU selepas makan ikan buntal di Johor

Siti Nur Aqilla Omar
Mac 28, 2023 18:45 MYT
Siasatan lanjut mendapati ikan buntal segar itu diperolehi daripada nelayan di Endau sebelum diambil oleh pemborong untuk diproses di Batu Pahat. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas berusia 83 tahun maut manakala suaminya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat mengalami keracunan selepas menikmati hidangan ikan buntal, di Kluang, tengah hari Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata suami wanita itu dirawat di ICU Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang.
Katanya, terdahulu Jabatan Kesihatan Negeri Johor menerima laporan keracunan makanan yang menyebabkan kematian.
"Ia melibatkan sepasang suami isteri yang tinggal di Jalan Sin Tiam Chamek, Kluang yang mendapatkan bekalan ikan buntal dari penjual secara dalam talian melalui Facebook.
"Bekalan diterima pada 25 Mac lalu (Sabtu) pada waktu pagi. Selepas itu ikan berkenaan dibersihkan dan digoreng untuk dibuat makan tengah hari bersama sayur dan daging khinzir.
"Dalam jam 3 petang, wanita berkenaan mula menunjukkan gejala sesak nafas dan menggigil. Kira-kira sejam kemudian, suaminya turut mengalami gejala sama," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Tian Soon, pasangan tersebut kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan HEBHK Kluang jam 5 petang oleh anak mereka yang tinggal berasingan.
"Walau bagaimanapun wanita itu telah meninggal dunia pada jam 7 petang, manakala suaminya masih lagi menerima rawatan di ICU.
"Difahamkan ini adalah kali pertama pasangan ini makan masakan berasaskan ikan buntal," katanya.
Jelas Tian Soon, siasatan lanjut mendapati ikan buntal segar itu diperolehi dari nelayan di Endau sebelum diambil oleh pemborong untuk diproses di Batu Pahat.
Katanya, penjual yang mengedarkan ikan buntal itu berasal dari Batu Pahat, membuat edaran kepada pelanggan berdasarkan tempahan yang dibuat melalui Facebook.
"Sebanyak 15 kilogram ikan buntal telah dijual di sekitar Chamek (empat pelanggan), Paloh (empat pelanggan) dan Yong Peng (satu pelanggan) pada hari tersebut. Selain pasangan terbabit, kesemua pelanggan belum makan ikan berkenaan.
"Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat telah mengambil sampel ikan buntal daripada semua pembeli itu. Sampel ini telah dihantar ke makmal untuk tujuan analisis. Sehingga kini tiada lagi laporan kes baharu berkaitan ikan buntal.
"Saya ingin mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berhati-hati di dalam memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang telah diketahui," katanya.
#warga emas maut #ikan buntal #keracunan makanan #Johor
;