Warga emas maut, rumah sewa di Jonker Walk hangus dijilat api
Shuhada Abdul Kadir
Jun 7, 2022 06:47 MYT
Jun 7, 2022 06:47 MYT
BANDARAYA MELAKA: Seorang wanita warga emas maut selepas rumah sewa didiaminya di Jalan Hang Kasturi, Jonker Walk, di sini hangus dijilat api malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam Selasa, mangsa Koo Kim Foong, 75 tahun, disahkan maut di lokasi kejadian selepas melecur hampir 70 peratus di bahagian paha dan perut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian melibatkan bangunan rumah sewa dua tingkat itu disedari orang awam sebelum pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan pada jam 9.35 malam.
Katanya, berdasarkan keterangan anak mangsa, ibunya tinggal seorang diri di lot bangunan bersejarah berkenaan yang telah disewa sejak lebih 70 tahun lalu.
Ujarnya, mayat mangsa hanya berjaya ditemukan di bahagian tingkat atas rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh 30 minit.
"Saksi anak kata ibu tinggal sorang diri, dan jentera berjaya kawal api 20 minit, 30 minit kemudian berjaya padam penuh.
"Balai Bomba Jalan Kaba telah keluarkan seorang mangsa wanita dipercayai ibu penyewa rumah berusia 75 tahun," katanya.
Mengulas lanjut katanya, pemeriksaan yang dilakukan hampir tiga jam di dalam premis yang hangus kira-kira 80 peratus itu mendapati, hanya seorang mangsa yang terlibat.
Katanya, unit forensik bomba juga sedang mengenal pasti punca awal kebakaran serta jumlah kerugian yang terlibat.
Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disahkan sebagai mati mengejut.