Warga emas maut rumah ditimbus tanah runtuh di Cameron Highlands
Mohd Zalani Md Atan
September 16, 2021 21:06 MYT
September 16, 2021 21:06 MYT
CAMERON HIGHLANDS: Seorang wanita warga emas maut selepas rumahnya ditimbus tanah runtuh di Sungai Palas, Brinchang di sini, hari ini.
Mayat K Vijaya, 57, ditemui jam 5.42 petang oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Menurut Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir, pasukannya bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan pada pukul 3.30 petang.
"Sebaik tiba kita dapati kejadian tanah runtuh telah menyebabkan sebuah rumah kebun runtuh.
“Akibat kejadian itu dipercayai seorang warga emas terperangkap di dalam runtuhan dengan anggaran kedalaman satu meter.
"Dua lagi penghuni terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kejadian tanah runtuh dan aliran lumpur itu berlaku selepas hujan lebat selama beberapa jam.