Warga emas maut nahas lapan kenderaan dalam perjalanan hantar cucu ke IPT
Bernama
September 10, 2023 03:45 MYT
September 10, 2023 03:45 MYT
NIBONG TEBAL: Wanita warga emas yang maut dalam nahas membabitkan lapan kenderaan termasuk dua treler di Kilometer (KM) 164.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini awal pagi Ahad, dalam perjalanan bersama keluarga menghantar cucu lelakinya mendaftar ke institut pengajian tinggi di Perlis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Ng Ah Thiam berkata keluarga itu yang terdiri sepasang suami isteri dan dua anak lelaki mereka bersama wanita warga emas berusia 76 tahun yang maut, dari Taiping, Perak menuju ke Perlis.
"Kemalangan berlaku berhampiran susur keluar Bukit Minyak-Sungai Bakap di lebuh raya itu apabila lori treler membawa muatan kayu hilang kawalan dan terbabas ke kanan penghadang lebuh raya sebelum dilanggar sebuah lagi treler dari arah sama.
"Kereta Toyota Corolla dinaiki keluarga itu yang dipandu lelaki berusia 54 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar treler membawa muatan kayu tersebut menyebabkan keretanya dihempap kayu dan kemalangan berlaku ketika hujan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata pemandu kereta terbabit dihantar ke Hospital Seberang Jaya, manakala isterinya berusia 48 tahun dan dua anak lelaki mereka berumur 19 serta 22 tahun dihantar ke Hospital Parit Buntar(HPB), Perak, dengan kesemua mereka mengalami kecederaan parah.
Menurut Ng turut cedera parah pemandu lori treler membawa muatan kayu berusia 24 tahun yang dihantar ke HPB bagi rawatan lanjut.
Katanya dua lagi mangsa iaitu wanita berusia 24 dan 44 tahun yang merupakan penumpang kereta Perodua Bezza cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
"Kemalangan turut melibatkan sebuah lagi Perodua Bezza dan Proton Proton Waja dari laluan bertentangan selepas gagal mengelak muatan kayu yang jatuh di laluan berkenaan, namun pemandu kedua-dua kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Beliau berkata pemandu sebuah lagi treler dan 12 individu daripada dua lagi kereta kedua-duanya jenis Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kemalangan yang berlaku kira-kira 4.20 pagi itu menyebabkan kesesakan teruk lebih tujuh jam selepas laluan ditutup sepenuhnya untuk membolehkan kerja-kerja mengalihkan muatan kayu.
-- BERNAMA