Warga emas maut nahas dua kenderaan, putus kaki

Petrus Bernard
Jun 6, 2024 02:30 MYT
Keadaan motosikal yang terlibat dalam nahas di Kilometer 27 Jalan Tawau-Semporna. - Astro AWANI
TAWAU: Seorang warga emas maut dalam nahas di Kilometer 27 Jalan Tawau-Semporna pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan sebuah motosikal.
Jelas Jasmin, sebelum kejadian kira-kira jam 3.55 petang itu, mangsa berusia 70 tahun itu membonceng motosikal yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, dalam perjalanan dari Kampung Indera Sabah menuju ke Kampung Blok 31 Jalan Apas.
MPV itu pula dipandu seorang lelaki berumur 45 tahun bersama seorang penumpang dari arah Lapangan Terbang Tawau hendak menuju ke bandar Tawau.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan penunggang motosikal yang dikatakan secara tiba-tiba mengubah haluan.
"Pemandu MPV tidak sempat mengelak menyebabkan motosikal terlanggar tayar hadapan kenderaan berkenaan," katanya.
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dan putus kaki sebelah kanan manakala remaja lelaki itu cedera di bahagian badan.
Pemandu dan penumpang MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis masih meneruskan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Nahas #warga emas #motosikal #putus kaki