Warga emas maut motosikal terjunam ke dalam tali air
Vivi Sumanti
Februari 9, 2020 19:26 MYT
Februari 9, 2020 19:26 MYT
Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum terjunam ke dalam tali air di Kampung Jenerih Bongkok, Pulai Chondong, awal pagi tadi.
Difahamkan mangsa Mazelan Ibrahim, 58, yang bekerja sebagai buruh pada ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kota Bharu bersama anak lelakinya berusia 24 tahun.
Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, warga emas berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat lemas selepas terjatuh ke dalam tali air berkenaan.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal Yamaha RXZ ditunggang mangsa yang berasal dari Kampung Kuala Merabang gagal dikawal sebelum terbabas.
Katanya, mangsa bersama anaknya itu dalam perjalanan dari arah Kampung Bukit menghala ke Kampung Jenerih Bongkok.
"Ketika sampai di lokasi kejadian, anak mangsa menyedari motosikal yang ditunggang bapanya seakan hilang kawalan sebelum mereka terbabas ke dalam tali air sedalam 1.52 meter (m).
"Mangsa kemudiannya diangkat ke tebing oleh anaknya sendiri dan diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar Hospital Machang untuk dibedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, doktor mengesahkan kematian warga emas berkenaan akibat lemas.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
#Hospital Machang
#Kampung Jenerih Bongkok
#Mazelan Ibrahim
#motosikal terjunam
#Polis Daerah Machang
#Pulai Chondong
#Tali air
#warga emas maut