Warga emas maut, motosikal terbabas dalam semak
Norfarhiza Mohd Atar
Januari 4, 2023 10:20 MYT
Januari 4, 2023 10:20 MYT
KUANTAN: Seorang warga emas maut selepas motosikal ditungganginya terbabas ke dalam semak di Jalan Tanjung Lumpur berhampiran Bandar Putra kira-kira jam 8.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang juga seorang peniaga, Muhammad Firdaus Ching Abdullah, 62 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Siasatan awal polis mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dari arah Kuantan menghala ke arah Kempadang.
"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam semak di bahu jalan sebelah kiri.
"Akibat kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi proses bedah siasat.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut diteruskan.