Warga emas maut, motosikal dirempuh SUV

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 21, 2021 17:41 MYT
Menurut polis, mangsa disahkan maut di tempat kejadian. - Foto ihsan PDRM
KAMPAR: Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya dipercayai dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapan sebuah bank di Pekan Kampar di sini, hari ini.
Mangsa, Meng Keng Chin @ Mun Kin Ching, 80, disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 9.25 pagi mengenai kemalangan yang melibatkan sebuah SUV jenis Honda CRV dan motosikal jenis Honda C70.
Menurutnya, kemalangan berlaku ketika SUV itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh.
“Apabila sampai di tempat kejadian motosikal mangsa secara tiba-tiba keluar dari simpang Jalan Ampang untuk menuju ke arah Pekan Kampar. Honda CRV tidak sempat mengelak dan berlaku perlanggaran,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, pemandu Honda CRV bekenaan, yang merupakan seorang lelaki berusia 69 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat mangsa di Hospital Kampar mendapati punca kematian disebabkan oleh kecederaan parah akibat kemalangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#warga emas #kemalangan maut #dirempuh SUV #motosikal #Kampar #Mun Kin Ching
;