Warga emas maut, motosikal bergesel dengan treler
Bernama
Februari 2, 2019 04:56 MYT
Februari 2, 2019 04:56 MYT
Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan setelah bergesel dengan sebuah treler di susur masuk Jambatan Pulau Pinang, pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira 2.20 petang itu, mangsa Lim Soon Huat, 66 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggangi mangsa bergesel dengan sebuah treler yang baru memasuki susur itu di Kilometer 0.0 Jambatan Pulau Pinang.
"Kemalangan dipercayai berpunca apabila (pemandu) treler sedang memandu di lorong kanan, tiba-tiba datang motosikal (mangsa) telah bergesel dengan treler tersebut di bahagian kiri treler menyebabkan penungggang motosikal tersebut terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Nik Ros Azhan berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA