Warga emas maut lori terbabas, terbalik

Norfarhiza Mohd Atar
November 26, 2022 22:21 MYT
Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. - Gambar/ JBPM
LIPIS: Seorang pemandu lori warga emas maut selepas kenderaan itu terbabas dan terbalik di Kilometer 15, Jalan Kampung Budu-Tualang Padang, Benta dekat sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, dalam kemalangan pukul 4.35 petang itu, Johari Md Jali, 70, yang beralamat di Kampung Sementeh, Lanchang, meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan itu berlaku apabila lori dipandu mangsa telah hilang kawalan semasa melalui jalan yang berselekoh serta menuruni bukit.
"Ketika kejadian, mangsa yang memandu lori dalam perjalanan dari Lanchang membawa muatan tar untuk dihantar ke Kampung Kemahang, Benta.
"Ketika menuruni bukit yang berselekoh, lori yang dipandunya telah hilang kawalan lalu telah terbabas ke sebelah kanan jalan dan terbalik," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata, mangsa yang tersepit dalam bahagian kepala lori telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan akibat cedera parah di kepala.
Katanya, kejadian disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Zon Tiga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, seramai 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis dan BBP Raub dikejarkan ke lokasi kemalangan dengan menaiki dua jentera.
"Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya.
#kemalangan maut #lori terbalik #Benta #lipis
;