Warga emas maut ketika tukar tayar kereta di LKSA

Umavathi Ramayah
November 18, 2024 22:07 MYT
Tindakan seorang lelaki warga emas menghentikan keretanya di bahu jalan di Kilometer 5.5 Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) untuk mengambil tayar ganti di but, berakhir dengan tragedi. - Foto PDRM Shah Alam
SHAH ALAM : Tindakan seorang lelaki warga emas menghentikan keretanya di bahu jalan di Kilometer 5.5 Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) untuk mengambil tayar ganti di but, berakhir dengan tragedi apabila dia dihempap sebuah kenderaan pikap, pada Isnin.
Akibatnya, mangsa yang berusia 65 tahun itu maut di tenpat kejadian kerana kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa dikatakan berhenti di tepi jalan apabila tayar kereta jenis Toyota Camry yang dipandunya pancit dan dalam masa sama cuba dibantu oleh pemandu trak pikap berkenaan.
"Namun sebuah bas jenis Scania yang dipandu di lorong kiri bagaimanapun gagal mengelak trak pikap lalu melanggarnya.
"Akibat pelanggaran itu, kenderaan bergerak di depan dan melanggar warga emas berkenaan yang ketika itu sedang mengambil barang dari but keretanya," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Mohd Iqbal berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari Hospital Kuala Lumpur ke rumahnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini.
Mayat mangsa ujar beliau dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.
#bedah siasat #tukar tayar #kemalangan #Nahas
;