Warga emas maut ketika sertai ekspedisi pacuan empat roda di Gerik

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 31, 2020 18:12 MYT
Setibanya anggota JBPM di lokasi kejadian, mangsa telah dibawa keluar ke jalan utama oleh peserta ekspedisi yang lain. - JBPM
Seorang lelaki warga emas meninggal dunia ketika menyertai ekspedisi pacuan empat roda di Lata Bintang Hijau, dekat sini, hari ini.
Mangsa, Md Roslan Shariff, 60, yang beralamat di Pandan Indah, Kuala Lumpur, dikatakan tidak sedarkan diri di kawasan berkenaan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.40 petang.
Katanya, setibanya jentera di lokasi kejadian, mangsa telah dibawa keluar ke jalan utama oleh peserta ekspedisi yang lain.
“Maklumat daripada pemanggil, terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri dan pegawai perubatan hospital telah mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
#bomba dan penyelamat #JBPM #lata bintang #md roslan shariff #pacuan empat roda #Perak #warga emas
;