NILAI: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia ketika menjalani aktiviti mendaki di Centipede Trail, Bukit Melati, di sini petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Nilai DSP Mat Ghani Lateh berkata siasatan awal mendapati mangsa berusia 69 tahun itu melakukan aktiviti mendaki secara bersendirian telah pengsan kira-kira 6 petang.

"Mangsa berasal dari Salak Tinggi, Sepang. Seorang saksi pendaki telah menyedari kejadian tersebut dan mendekati mangsa yang pada ketika itu masih dalam keadaan bernafas tetapi tidak sedarkan diri.

"Saksi tersebut kemudian telah menghubungi pihak bomba dan ambulans untuk bantuan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan Klinik Kesihatan Nilai di tempat kejadian sebelum dibawa turun oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Nilai.

Katanya, mangsa yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA