Warga emas maut kereta rempuh lori tangki

Rohana Wahed
September 25, 2018 23:15 MYT
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di mana sebuah kenderaan Perodua Kancil telah terbenam ke dalam parit pada Selasa, 25 Sept, 2018. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak
Seorang warga emas maut selepas kenderaan Perodua Kancil yang dipandunya hilang kawalan, sebelum merempuh sebuah lori tangki di Jalan Paradom, di sini, petang Selasa.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan sekitar jam 5.25 petang dan sebuah jentera dan lapan anggota diaktifkan ke lokasi dari Balai Bintangor.
"Setibanya di lokasi, komander operasi Mohmad Mahmud melaporkan, insiden melibatkan sebuah Perodua Kancil yang memasuk lorong bersebelahan sebelum melanggar lori tangki yang membawa muatan minyak.
"Impak kemalangan menyebabkan kenderaan Perodua Kancil tersebut terbenam ke dalam parit, dengan mangsa terperangkap di kerusi pemandu, tidak sedarkan diri," katanya.
Beliau bagaimanapun disahkan tidak bernyawa oleh pasukan paramedik.
Kata Ling Hii, pasukan penyelamat kemudian mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan operasi 'hydraulic rescue tools', sebelum menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi tamat pada jam 7.01 malam," katanya lagi.
#bomba #hilang kawalan #kemalangan #lori tangki #mangsa #maut #minyak #parit #penyelamat #polis #Tiong Ling Hii #warga emas