Warga emas maut kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda

Ruzaini Zulkepli
November 9, 2019 22:55 MYT
Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 10 Jalan Keningau-Tenom, petang Sabtu.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Tinsim Petek, 69, meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital.
Terdahulu, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Waja itu sebelum bertembung dengan pacuan empat roda jenis Toyota Revo di lokasi kejadian.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.51 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
"Dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dengan kekuatan seramai lapan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan orang awam.
"Berdasarkan maklumat awal, kejadian ini melibatkan sebuah kereta bertembung dengan pacuan empat roda dan seorang mangsa iaitu pemandu Proton Waja meninggal ketika dikejarkan ke hospital.
"Tiga lagi individu iaitu pemandu dan penumpang Toyota Revo tersebut hanya mengalami cedera ringan," katanya.
Menurut beliau operasi itu ditamatkan pada jam 4.17 petang.
#BBP Keningau #JBPM Sabah #pacuan empat roda #Proton Waja #Tinsim Petek #Toyota Revo #warga emas maut
;