Warga emas maut ditikam selepas disamun di pekarangan rumah

Muhafandi Muhamad
Mei 7, 2020 06:00 MYT
Polis sedang memeriksa lokasi kejadian di mana seorang warga emas maut ditikam di pekarangan rumahnya di Kampung Tok Khamis, Bukit Yong. -Astro AWANI
Seorang warga emas maut ditikam di pekarangan rumahnya di Kampung Tok Khamis, Bukit Yong pada Khamis.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 6.10 petang itu, mangsa berada di perkarangan rumahnya menunggu waktu berbuka puasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri, mangsa yang dikenali sebagai Azizah Mohamed, 82, didatangi seorang suspek yang bertindak meragut rantai emas di leher sebelum menikamnya.
"Dipercayai samun ragut sebab barang yang hilang dari tubuh mangsa mengikut pengakuan anak mangsa ialah seutas rantai leher yang biasanya dipakai mangsa," kata Mohd Azmir.
Menurut Mohd Azmir lagi, semasa kejadian, mangsa berada bersama salah seorang anaknya yang kelainan upaya manakala dua lagi ahli keluarga keluar mencari juadah berbuka puasa.
Selepas ahli keluarga mangsa pulang, mereka mendapati mangsa terbaring di hadapan tangga rumahnya dengan kesan luka di kening serta tikaman di bahagian dada.
Mangsa dibawa ahli keluarga ke Hospital Tengku Anis untuk mendapatkan rawatan namun meninggal dunia jam 8 malam tadi.
Mohd Azmir menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan.
Sementara itu, adik mangsa Salmah Mohamed ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Anis memaklumkan kakaknya tinggal bersama dua anak, menantu dan adiknya di rumah berkenaan.
Menurutnya, mangsa tidak mengalami sebarang penyakit bahkan sentiasa berkebun dan membersih halaman rumah.
#Azizah Mohamed #Bukit Yong #ditikam di pekarangan rumah #Hospital Tengku Anis #Kampung Tok Khamis #Mohd Azmir Damiri #Salmah Mohamed #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #warga emas
;