Warga emas maut ditikam penagih dadah

Qaisara Umaiyah, Zulhafiiz Brahim
Mac 15, 2021 17:30 MYT
Lokasi seorang warga emas yang ditikam oleh seorang suspek yang juga penagih dadah. - Astro AWANI
LAHAD DATU: Seorang warga emas yang disyaki penjual dadah menemui ajalnya apabila ditikam seorang penagih dadah yang tidak berpuas hati.
Dalam kejadian pukul 9.07 malam, 12 Februari lalu, mangsa yang berusia 81 tahun, ditikam di rumahnya di Kampung Pisang, dekat sini selepas disedari oleh jirannya yang terdengar bunyi bising dari luar.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah dalam kenyataan media berkata, warga emas itu kemudiannya dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjutan.
Mangsa sempat memberitahu jirannya tentang lelaki bernama 'Aziz' yang menikamnya.
Bertindak atas maklumat, pasukan polis telah menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pisang kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Sabtu lalu.
Seorang lelaki berusia 21 tahun telah ditahan dan suspek itu mengaku mencederakan mangsa menggunakan pisau lipat sebelum membuangnya di kawasan belakang rumah mangsa.
"Motif kejadian kerana tidak puas hati apabila mangsa enggan memberinya dadah jenis syabu, namun pihak polis masih menyiasat dakwaan suspek sekiranya betul mangsa adalah penjual dadah," ujarnya.
Ujian air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Mangsa pula telah disahkan meninggal dunia pada pukul 9.03 pagi, Ahad lalu di Hospital Tawau.
#mangsa tikaman #maut ditikam #warga emas #penagih dadah #penjual dadah #polis #PDRM #kampung pisang #Lahad Datu
;