Warga emas maut dirempuh kereta di Sungai Petani

Adie Sufian Zulkefli
September 7, 2019 13:54 MYT
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, untuk bedah siasat. - Astro AWANI
Baru sahaja selesai makan malam, tidak sempat pulang ke rumah, seorang warga emas maut sewaktu ingin melintas jalan apabila dia dirempuh sebuah kereta dalam kejadian tengah malam tadi.
Kemalangan mengakibatkan mangsa, Khamis Saad, 63 tahun, maut di tempat kejadian selepas dirempuh sebuah kereta Proton Wira di Kilometer 13 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil.
Ketika kejadian, kira-kira jam 12.10 tengah malam, mangsa bersama seorang lagi rakannya sedang melintas jalan di hadapan kedai makan terbabit untuk pergi ke keretanya yang diparkir di seberang jalan.
Bagaimanapun, sebaik mangsa berada di tengah jalan, sebuah kereta datang dengan laju lalu melanggar mangsa sehingga mengakibatkannya terpelanting sejauh 10 meter.
Bagaimanapun, rakan Khamis terselamat kerana ketika itu dia masih berada di bahu jalan dan belum melintas.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah, akibat rempuhan itu mangsa yang berasal dari Kampung Lubuk Saga, Sidam Kiri, tercampak ke atas bahagian kiri bonet kereta dan kepalanya terhentak pada cermin sisi, lalu terjatuh ke tengah jalan.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kemalangan #maut #melintas jalan #meninggal dunia #polis #Sungai Petani #warga emas
;