Warga emas maut dipercayai disengat tebuan di Miri

Bernama
November 26, 2022 21:12 MYT
Anggota bomba menemui mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dikerumuni serangga itu yang masih berterbangan sekitar tubuhnya. - Gambar hiasan/ Wikipedia
MIRI: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia dipercayai akibat disengat tebuan di Taman Bulatan Miri di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan mangsa dikenali sebagai Chin Tet Min @ Chin Tet Bui, 72.
Beliau berkata panggilan mengenai penemuan warga emas itu diterima pada 2.57 petang dan satu pasukan dari Balai Bomba Dan Penyelamat Miri Sentral digerakkan ke lokasi kejadian.
"Komander Operasi melaporkan terdapat seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan terbaring serta tidak sedarkan diri dikerumuni serangga itu yang masih berterbangan sekitar tubuh mangsa.
"Pihak bomba telah menjumpai satu sarang tebuan di atas sebatang pokok dengan anggaran ketinggian 70 kaki dari tanah," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Katanya pihak bomba kemudian mengalihkan Chin menggunakan baju khas pelindung dan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan di lokasi mengesahkan mangsa yang tidak sedarkan diri itu sudah meninggal dunia.
-- BERNAMA
#warga emas #tebuan #Miri #maut disengat tebuan
;