Warga emas maut dilanggar lori

Bernama
Mei 29, 2023 11:10 MYT
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala selepas tercampak di atas bahu jalan raya. - Foto BERNAMA
GUA MUSANG: Seorang warga emas maut selepas dilanggar sebuah lori ketika sedang menunggang motosikal di Kilometer 8, Gua Musang-Kuala Krai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata akibat perlanggaran tersebut mangsa Ishak Musa, 73, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala selepas tercampak di atas bahu jalan raya.
"Kejadian berlaku kira-kira 4.20 petang ketika mangsa sedang menunggang motosikal jenis SM Sport 110E dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai sebelum dipercayai sedang bergerak masuk perlahan-lahan ke laluan utama selepas berhenti di tepi jalan sebelah kiri.
"Dua kenderaan yang berada di hadapan lori jenis Isuzu sempat mengelak ketika mangsa sedang masuk ke laluan tersebut, namun pemandu lori terbabit tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa dari arah belakang di laluan yang sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sik berkata pemandu lori yang berusia 23 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mangsa yang maut dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
"Siasatan mendapati kemalangan itu berpunca daripada pemandu lori yang melanggar bahagian belakang motosikal warga emas berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
--BERNAMA
#Nahas #warga emas #motosikal #Lori
;