Warga emas maut dilanggar kereta ketika melintas jalan

Adie Sufian Zulkefli
Februari 19, 2023 05:30 MYT
Dalam kejadian di Pekan Bedong, Jalan Alor Setar - Butterworth semalam, pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa, mengakibatkannya terpelanting jatuh ke tengah jalan dan meninggal dunia. - Foto ihsan PDRM
SUNGAI PETANI: Seorang wanita warga emas maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika mahu melintas jalan di Pekan Bedong, Jalan Alor Setar - Butterworth, di sini, semalam.
Mangsa, Veeramah Veerasamy, 64 tahun, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata, dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa dikatakan ingin menyeberang jalan untuk pulang ke rumahnya di Lorong 3, India Camp, tidak jauh dari situ.
“Ketika kejadian, sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun sedang bergerak dari Sungai Lalang menghala ke Bedong, manakala mangsa sedang melintas dari kiri ke kanan jalan.
“Pemandu kereta itu bagaimanapun tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa, mengakibatkannya terpelanting jatuh ke tengah jalan.
“Akibat rempuhan kuat itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, untuk bedah siasat.
Zaidy berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#dilanggar ketika melintas jalan #Veeramah Veerasamy #warga emas maut #Sungai Petani
;