Warga emas maut digilis treler
Astro Awani
Oktober 10, 2018 12:25 MYT
Oktober 10, 2018 12:25 MYT
Seorang warga emas maut selepas digilis treler dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Kawasan Perindustrian Jakar, di sini, kira-kira jam 7.40 pagi pada Rabu.
Mangsa yang dipercayai berusia lewat 70an dan belum disahkan identitinya itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian badan.
Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dikatakan dalam perjalanan dari Chendor, Kuantan menuju ke bandar Chukai.
Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki mangsa dikatakan secara tiba-tiba memasuki laluan kanan jalan menyebabkan lori treler terbabit yang datang dari arah yang sama gagal mengelak lalu melanggar mangsa.
Mangsa tersepit di bahagian tayar belakang lori tersebut dan terseret kira-kira 15 meter.
Sepuluh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai bersama dua jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan jam 8.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#Akta Pengangkutan Jalan
#Balai Bomba dan Penyelamat
#Chendor
#Chukai
#digilis treler
#Honda EX5
#Kawasan Perindustrian Jakar
#kemalangan
#Mohd Said Ibrahim
#persimpangan lampu isyarat
#Seksyen 41
#warga emas