Warga emas maut digilis bas di Terminal Bas Larkin Sentral
Bernama
Oktober 19, 2018 22:20 MYT
Oktober 19, 2018 22:20 MYT
Seorang wanita warga emas maut selepas digilis sebuah bas ekspres di Terminal Bas Larkin Sentral di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata mangsa Er Shok Siew, 80, bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 7.50 malam ini ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
"Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa terlibat dalam kemalangan di mana kedua-dua kaki digilis sebuah bas ekspres di terminal terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Shahurinain berkata pemandu bas berusia 61 tahun itu akan ditahan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, gambar dan video berdurasi 26 saat yang menunjukkan seorang wanita cuba melintas dalam kawasan terminal sebelum digilis sebuah bas ekspres, telah tular di media sosial.
Dalam kenyataan berasingan, Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berkata pihaknya telah meminta pihak pengurusan terminal untuk mengemukakan laporan segera berhubung kejadian terbabit.
-- BERNAMA