Warga emas maut dalam nahas tiga kenderaan
Astro Awani
Jun 2, 2019 08:15 MYT
Jun 2, 2019 08:15 MYT
Seorang warga emas maut manakala menantunya koma selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan.
Nahas tersebut berlaku di Jalan Padang Air, Kuala Nerus kira-kira jam 8.25 malam Sabtu.
Kemalangan itu mengakibatkan mangsa Selmah Sulong, 63 maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Manakala menantunya Mohamad Azlan Abdul Rahman, 30 tahun koma selepas mengalami pendarahan dalam kepala.
Insiden itu dipercayai berlaku selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki enam sekeluarga itu dipercayai gagal menggelak kereta Proton Persona yang dipandu Mohamad Azlan yang ingin membelok ke kanan keluar ke jalan utama.
Ketika kejadian Mohamad Azlan bersama enam lagi ahli keluarganya menghala ke Tepoh sebelum keretanya dirempuh di bahagian sisi.
Ekoran itu juga menyebabkan Perodua Myvi tersebut melanggar motorsikal jenis Yamaha 135LC yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian.
Susulan itu pemandu kereta Myvi yang berusia 40 tahun bersama anak dan isterinya mengalami kecederaan parah.
Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Abd Razak Hasan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Manakala mangsa maut dibawa ke unit forensik hospital yang sama untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Akta Pengangkutan Jalan
#Hospital Sultanah Nur Zahirah
#kemalangan
#Kuala Nerus
#Mohamad Azlan Abdul Rahman
#Perodua Myvi
#Proton Persona
#Selmah Sulong
#warga emas