Warga emas maut dalam kemalangan empat kereta
Intan Shanim Sulaiman
November 28, 2024 15:28 MYT
November 28, 2024 15:28 MYT
Cheras: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan melibatkan empat kereta di Jalan Bahagia, Taman Minang, Cheras, di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 73 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Yusof, berkata kejadian berlaku ketika mangsa memandu berseorangan untuk pulang ke rumah.
"Semasa melalui Jalan Bahagia 8, kereta Proton Saga yang dipandu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta yang diletakkan di sebelah kanan jalan.
“Dalam usaha mengundurkan keretanya, pemandu Proton Saga itu sekali lagi hilang kawalan dan melanggar dua kereta yang diletakan di sebelah kiri jalan serta melanggar pagar rumah," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Menurut Naazron, mangsa yang juga pesara kerajaan itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Dalam pada itu, siasatan polis mendapati mangsa mempunyai sejarah sakit jantung.
Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Nur Faezah di talian 012-3268496.