Warga emas maut dalam kebakaran rumah teres di Klang
Hilmi Malik
November 24, 2019 08:23 MYT
November 24, 2019 08:23 MYT
Seorang wanita warga emas maut dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah teres di Jalan Haji Abd Majid, Kampung Sungai Pinang, di sini, awal pagi Ahad.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.13 pagi dan menggerakkan 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Kota Raja, Kapar dan Pelabuhan Klang.
"Setibanya di lokasi kejadian, bomba mendapati terdapat dua buah rumah teres kelas C sedang terbakar sebanyak 95 peratus.
"Kebakaran dapat dikawal pada 4.36 pagi dan mendapati terdapat seorang warga emas berusia lingkungan 70-an di dalam rumah tersebut," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan melecur 90 peratus pada seluruh badan.
Difahamkan mangsa tinggal bersama anaknya, bagaimanapun dia tiada di rumah ketika kejadian.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
#Balai Bomba dan Penyelamat
#kebakaran
#maut
#Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor
#wanita warga emas
#warga emas