Warga emas maut, bomba bantu buka pintu tandas

Abd Razak Mohd Ali
Februari 4, 2022 12:31 MYT
Setibanya di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati terdapat seorang lelaki Cina berusia 63 tahun terkunci di dalam tandas. - Foto JBPM Perak
MANJUNG: Anggota bomba membantu membuka pintu tandas sebuah rumah di Taman Guru dekat sini, hari ini, selepas selepas seorang warga emas terkunci di dalamnya.
Bagaimanapun, lelaki berusia 63 tahun itu disahkan telah meninggal dunia.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.38 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat seorang lelaki Cina berusia 63 tahun terkunci di dalam tandas,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa.
Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
#warga emas #terkunci di dalam tandas #manjung #bomba pecah pintu tandas
;