Warga emas maut, anak parah kemalangan di Pekan
Bernama
Jun 9, 2018 11:53 MYT
Jun 9, 2018 11:53 MYT
Seorang warga emas maut manakala anaknya parah selepas kenderaan yang dinaiki hilang kawalan sebelum bertembung kenderaan lain di Kilometer 51 Jalan Pekan-Nenasi/Rompin berhampiran Kampung Serun di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Amran Sidek berkata dalam kejadian 4.15 petang itu, mangsa, Ismail Abas, 72 tahun, yang memandu kereta itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian dada.
Anaknya, Siti Zuraidah, 31 tahun, yang mengalami pendarahan dalaman, dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan.
"Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Lembing selepas pergi ke rumah seorang menantunya di Rompin.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu Perodua Myvi telah hilang kawalan selepas melalui selekoh dan memasuki laluan bertentangan.
"Kereta mangsa kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang tidak dapat mengelak ekoran jarak yang terlalu hampir," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Amran berkata pemandu kereta Nissan Sentra, Mansor Ibrahim, 57, yang juga pembantu makmal sekolah di Kuantan, juga dihantar ke HTAA kerana patah paha dan cedera pada tumit kaki kanan, manakala mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Pekan untuk dibedah siasat.
-- BERNAMA
#Amran Sidek
#bertembung
#Hospital Tengku Ampuan Afzan
#HTAA
#Ismail Abas
#Kuantan
#parah
#Pekan
#Siti Zuraidah
#warga emas