Warga emas mahu tebus Mercedes Benz rugi hampir RM40,000

Sinar Harian
Mac 26, 2023 13:25 MYT
Suspek mendakwa kononnya akan menghadiahkan mangsa sebuah kereta jenis Mercedes Benz dan wang tunai ASD150,000. - Gambar hiasan
KUANTAN: Akibat percaya dengan janji manis dan pemberian hadiah mewah daripada seorang kenalan yang baru kenali kononnya dari United Kingdom, seorang warga emas di Raub kerugian RM39,750 selepas diperdaya sindiket penipuan Love Scam.
Wanita berusia 75 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, pada Sabtu selepas menyedari dirinya ditipu apabila tidak menerima hadiah yang didakwa dikirimkan oleh kenalan yang dikenali melalui aplikasi WhatsApp, awal Februari lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek mengatakan akan menghadiahkan mangsa sebuah kereta jenis Mercedes Benz dan wang tunai ASD150,000.
"Selepas itu, mangsa menerima panggilan yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai Kastam dan memaklumkan bungkusan yang dikirimkan sudah terima di Malaysia dan diminta untuk membuat bayaran cukai.
"Mangsa kemudian membuat enam kali pindahan wang ke enam akaun bank berlainan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM39,750," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sehubungan itu, Ramli menasihatkan agar masyarakat sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan individu yang tidak dikenali di media sosial.
"Pihak polis juga mengingatkan supaya orang ramai tidak menyewa atau memberikan akaun bank peribadi kepada ahli sindiket.
"Jika dapati bersubahat dengan ahli sindiket, pemilik akaun boleh dituduh di mahkamah jenayah dan mungkin akan dihadapkan dengan tuntutan sivil," kata beliau. - Sinar Harian
#warga emas #love scam #hadiah kereta #laporan polis
;