Warga emas lintas jalan maut dilanggar motosikal

Adie Sufian Zulkefli
Disember 6, 2021 11:42 MYT
Ketika kejadian, mangsa dikatakan hendak melintas Jalan Datuk Kumbar menuju ke arah kenderaannya yang diparkir di seberang jalan. - Foto PDRM
ALOR SETAR: Hasrat seorang bapa untuk makan malam bersama keluarga tidak kesampaian apabila dia maut dilanggar motosikal ketika sedang melintas di Jalan Datuk Kumbar, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Zahari Hashim, 74 tahun, dikatakan baru keluar dari sebuah kedai makan yang terletak di hadapan lokasi kejadian.
Ketika itu, mangsa dikatakan hendak melintas jalan menuju ke arah kenderaannya yang diparkir di seberang jalan untuk pulang ke rumahnya di Taman Nuri.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal jenis SYM BX110 yang ditunggangi seorang lelaki datang dari arah Derga Jaya menghala ke pusat bandar.
"Setibanya di lokasi kejadian, penunggang motosikal itu dipercayai tidak nampak mangsa sedang melintas jalan lalu merempuhnya.
“Akibat rempuhan itu, mangsa terseret lebih lima meter sebelum terjatuh di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Ahmad Shukri berkata, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.
#makan malam bersama keluarga #dilanggar motosikal #dilanggar ketika melintas jalan #Alor Setar
;