Warga emas lemas ketika memukat ikan

Bernama
November 20, 2024 18:53 MYT
Polis berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Chik Mamat, berusia 76 tahun dan bekerja sebagai peneroka. - Foto Sinar Harian
KUALA BERANG: Seorang warga emas ditemukan lemas ketika memukat ikan di kawasan lopak air dalam ladang sawit di Jerangau Barat, Ajil, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Supt Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata polis menerima laporan daripada orang awam pada 9.40 pagi yang memaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa dalam lopak air di belakang kilang sawit.
Beliau berkata sebaik menerima laporan, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan bertindak mengeluarkan mayat mangsa dari kawasan air dengan bantuan orang awam.
"Mayat mangsa dikeluar dari dalam air yang berkedalaman kira-kira satu meter. Lopak air tersebut berpunca daripada limpahan air sungai yang masuk ke ladang.
"Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Chik Mamat, berusia 76 tahun dan bekerja sebagai peneroka," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zainul berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati lemas.
-- BERNAMA
#warga emas #lemas #memukat ikan #Jerangau Barat
;