Warga emas lemas jatuh tali air di Segamat
Bernama
Januari 7, 2022 23:24 MYT
Januari 7, 2022 23:24 MYT
SEGAMAT: Seorang lelaki warga emas yang dipercayai terjatuh ke dalam tali air ketika dalam perjalanan ke kebun di Kampung Sarakek, di sini pada 3 petang semalam, ditemukan lemas petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abdul Razak berkata mayat Gan Ai Boon, 63, ditemukan kira-kira 50 meter dari tempat kejadian sekitar 5.40 petang tadi.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.49 petang tadi, sebelum menggerakkan sembilan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.
"Berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai hilang selepas terjatuh ke dalam tali air. Sehubungan itu, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) telah melakukan pencarian di permukaan air di lokasi tersebut menggunakan bot penyelamat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata mayat warga emas tersebut kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat.
-- BERNAMA