Warga emas koma selepas terjun dari tingkat 12

Hilmi Malik
Januari 25, 2021 15:28 MYT
Menurut Asisten Komisioner Beh Eng Lai, polis turut menemui nota di bahagian badan mangsa mendakwa dia dijangkiti pandemik COVID-19.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas berusia 57 tahun ditemui dalam keadaan parah selepas bertindak nekad terjun dari bangunan sebuah flat di Bandar Baru Sentul, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis turut menemui nota di bahagian badan mangsa mendakwa dia dijangkiti pandemik COVID-19.
Menurut Eng Lai, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring oleh awam dalam keadaan cedera parah.
“Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, paru-paru, perut, serta patah bahagian tangan dan kaki.
“Mangsa kini sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), akibat kecederaan kritikal dan koma," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, Eng Lai memohon pada orang ramai agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh memudaratkan diri sehingga mendatangkan bahaya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.
#COVID-19 #warga emas #PDRM #Sentul #terjun bangunan
;