Warga emas kirim sahaja makanan di bazar Ramadan - Pakar kesihatan

Astro Awani
April 12, 2021 12:25 MYT
Dr Malina berkata, semua pihak perlu menjaga SOP walaupun diketahui ada badan pemantau yang akan mengawasi pergerakan orang ramai di bazar Ramadan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Golongan warga emas dinasihat hanya mengirim sahaja makanan kepada golongan dewasa dan orang lebih muda jika bercadang membeli makanan di bazar Ramadan.
Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Malina Osman berkata, semua pihak perlu menjaga prosedur operasi standard (SOP).
Pematuhan kendiri perlu walaupun diketahui ada badan pemantau yang akan mengawasi pergerakan orang ramai di lokaliti berkenaan.
"Saya jangka, untuk tempoh beberapa minggu ini, kes sama ada akan meningkat sedikit atau terus mendatar. Sejak tiga minggu lepas, kita lihat statistik mendatar, dan naik sedikit sejak dua hari lepas
"Tetapi, dengan kedatangan Ramadan ini, saya jangka kes mendatar. Sebab, kurang aktiviti makan minum di luar, ataupun melibatkan perkumpulan sosial secara beramai-ramai.
"Namun, bazar Ramadan dan solat tarawih tidak begitu menyumbang kepada potensi kenaikan kes seperti yang kita saksikan sebelum ini.
"(Ia berbanding) pola tingkah laku yang terlibat di majlis keramaian, yang banyak menyumbang kepada kes-kes baru, dan mereka yang di tempat kerja.
"Jadi kalau kita telah kurangkan aktiviti makan minum, secara umum, kurang aktiviti bersama, kurang interaksi dan kes juga saya jangka tidak begitu meningkat," katanya kepada Astro AWANI menerusi satu sidang video hari ini.
BACA: Semua bazar Ramadan dan Aidilfitri di Kelantan dibatalkan - Exco
BACA: 65 bazar Ramadan bakal beroperasi di sekitar KL - DBKL
Dalam pada itu, Dr Malina mengalu-alukan tindakan negeri Kelantan untuk membatalkan kesemua bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri itu untuk tahun ini.
Ujarnya, paling penting, mengutamakan mereka yang sudah mula divaksin sebelum dibenarkan untuk ke bazar Ramadan atau masjid.
Katanya, kesesakan tidak dijangka di bazar Ramadan yang besar, yang sukar dikawal, berbanding di masjid yang menjalankan kawalan ketat terhadap jemaahnya.
Dalam pada itu, katanya, mereka yang diuji negatif COVID-19 perlu segera divaksin, sekali gus menghalang kenaikan harian jumlah mereka yang dijangkiti.
#SOP #Ramadan #COVID-19 #pandemik #operasi #warga emas #kenaikan kes #Bazar Ramadan #solat tarawih #kes baharu #majlis sosial #keramaian #makanan #Malina Osman
;