Warga emas kemurungan positif COVID-19 dipercayai bunuh diri
Afiezy Azaman
Januari 22, 2021 22:26 MYT
Januari 22, 2021 22:26 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas yang mengalami kemurungan selepas disahkan positif COVID-19 ditemui mati di rumahnya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor, pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, mangsa berusia 66 tahun itu membuat dua ujian saringan COVID-19 pada 7 serta 18 Januari dan kedua-duanya didapati positif.
"Mangsa dilaporkan telah membayar kos yang tinggi di hospital swasta untuk rawatan COVID-19 dan mengajak isterinya ke bank untuk memindahkan wang sebanyak RM40,000 untuk tujuan rawatan COVID-19, pada Jumaat.
"Menurut isterinya, mangsa kerap mengadu kesakitan dan berada dalam keadaan murung apabila disahkan positif COVID-19, malah sering berkata lebih baik mati daripada sakit seperti ini," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Razali berkata siasatan awal di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan polis percaya lelaki itu membunuh diri.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Orang ramai di negara ini dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.
Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.
Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my selain di laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube untuk bantuan.
Panggilan adalah percuma.
#warga emas
#positif COVID-19
#Kemurungan
#bunuh diri
#Seri Kembangan
#polis
#bedah siasat
#kos rawatan