Warga emas jumpa bayi bertali pusat atas meja makan

Abd Razak Mohd Ali
September 10, 2019 18:55 MYT
Bayi tersebut kini berada di wad kecemasan Hospital Slim River. - Gambar hiasan
Seorang bayi lelaki yang baru lahir ditemui orang awam di atas meja sebuah kedai makan di Jalan Maktab, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, bayi itu ditemui seorang lelaki berumur 80 tahun yang dalam perjalanan pulang dari menunaikan solat Maghrib di Masjid Jamek Tanjung Malim kira-kira jam 8 malam.

Menurutnya, semasa sampai di gerai anaknya kerana hendak makan malam, warga emas itu ternampak bayi lelaki yang masih bertali pusat berada di atas meja makan.

“Bayi tersebut dibaluti dengan sehelai tuala berwarna kelabu. Tiada apa-apa kesan atau nota yang ditinggalkan. Saksi terus meminta bantuan menantunya untuk menghubungi pihak polis melalui talian 999,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Wan Kamarul Azran berkata, hasil pemeriksaan lanjut daripada doktor didapati bayi dengan ketinggian 48 sentimeter dan berat 2.34 kilogram itu berada dalam keadaan sihat dan stabil.

Katanya, bayi tersebut kini berada di wad kecemasan Hospital Slim River.

Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana ibu bapa atau orang yang bertanggung menjaga kanak-kanak yang berumur kurang daripada 12 tahun mendedahkan dan membuang kanak-kanak itu.
#bayi #bayi atas meja makan #bayi bertali pusat #Kanak-kanak #Ketua Polis Daerah Muallim #Wan Kamarul Azran Wan Yusuf #warga emas
;