Warga emas jatuh motosikal maut digilis treler
Adie Sufian Zulkefli
April 17, 2024 12:45 MYT
April 17, 2024 12:45 MYT
ALOR SETAR: Seorang lelaki warga emas maut digilis sebuah lori treler selepas terjatuh dari motosikal yang ditungganginya dalam kemalangan di Jalan Gangsa, Mergong, di sini pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 10 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Nozlan Zakaria bersama 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setiba di lokasi didapati, terdapat kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda EX-5 dengan sebuah treler.
"Terdapat seorang mangsa iaitu lelaki warga emas berusia 73 tahun dipercayai digilis di bahagian kepala serta badan dan tersepit di bawah lori di bahagian tayar hadapan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Ahmad Naufal berkata, tindakan yang dilakukan anggota bomba adalah dengan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Tindakan lanjut pasukan bomba adalah dengan membersihkan sisa kemalangan di atas jalan raya di lokasi kejadian sehingga selesai," katanya.
Mayat warga emas itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.