Warga emas hilang ketika cari pucuk paku ditemui lemas

Nazialita Geynna Maharan
Ogos 2, 2016 23:04 MYT
Mayat Ismail Jaafar, 69, ditemui tersangkut di jaring pukat di Kota Laman Kanan iaitu sekitar 15 kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh. - Foto Astro AWANI
Mayat seorang warga emas yang hilang sejak Isnin ketika mencari pucuk paku ditemui di Kampung Tahan, Jarau, di sini pada 5.40 petang tadi.
Mayat Ismail Jaafar, 69, ditemui tersangkut pada jaring pukat di Kota Laman Kanan iaitu sekitar 15 kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Khairi Anuar Shaharuddin berkata pihaknya menerima panggilan sekitar pukul 10 malam Isnin mengenai kehilangan mangsa.
"Sebelum itu, kami telah dimaklumkan bahawa mereka telah menjumpai pakaian lengkap dan sepasang kasut getah milik mangsa yang ditinggalkan di kawasan itu.
"Malah, sampan miliknya juga turut dijumpai di Kampung Karai yang berada tidak jauh dari lokasi pakaian mangsa dijumpai," katanya kepada ASTRO AWANI.
Jelasnya, pihaknya telah melakukan pencarian menggunakan bot operasi di sekitar tebing sungai dengan bantuan daripada pihak polis, anggota Rela dan orang awam.
Khairil Anuar berkata keseluruhan operasi tersebut melibatkan kekuatan seramai 46 orang termasuk bantuan kesemua agensi dan orang kampung.
Sebelum ini, Ismail dari Kampung Tahan dikhuatiri hilang selepas dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak pagi ketika dia keluar untuk mencari pucuk paku.
#Kampung Karai #Kampung Tahan #OKU #Warga emas lemas
;