Warga emas hilang ketika berbasikal ditemukan lemas di Tasik Biru

Bernama
April 19, 2023 22:28 MYT
Supt Tok Beng Yeow, berkata, mayat Liew You Foo, 63, ditemukan pasukan JBPM pada jam 11.55 pagi tadi. - Gambar fail/Sinar Harian
KULAI: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika berbasikal di laluan hutan Taman Gemilang, di sini, Isnin lepas, ditemukan lemas dalam keadaan terapung di Tasik Biru, Bukit Gemilang, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow, berkata, mayat Liew You Foo, 63, ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 11.55 pagi tadi.
"Siasatan awal mendapati mangsa kemungkinan terjatuh ke dalam tasik hasil penemuan sepasang kasut berwarna merah di permukaan air tasik pada 11.20 pagi, semalam.
"Mayat mangsa kemudiannnya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini bagi tujuan bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi, yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Penolong Penguasa Bomba Fairuz Helmi Mohd Ali dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 3.29 petang, Isnin lepas.
Beliau berkata operasi pencarian telah dijalankan sekitar lima kilometer dari jalan besar dan radius pencarian adalah tiga kilometer dari lokasi terakhir mangsa dipercayai hilang.
"Operasi diteruskan semalam, dengan pencarian menggunakan teknik rescue recce di kawasan tebing dan membuat proses sweeper kiri dan kanan sepanjang 200 meter.
"Lebih kurang pukul 11.55 pagi tadi mangsa dijumpai terapung di dalam tasik dan pasukan keluaran operasi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan bot aluminium dan menyerahkannya kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada jam 1.15 tengah hari tadi.
-- BERNAMA
#bedah siasat #JBPM #warga emas #lokasi terakhir
;