Warga emas hilang di Tabuan Jaya ditemui mati
Munirah Mudzamli
Jun 5, 2021 16:40 MYT
Jun 5, 2021 16:40 MYT
KUCHING: Kehilangan seorang warga emas yang tular media sosial pada Jumaat terjawab apabila mayatnya ditemui di Sungai Pangeran, Tabuan Jaya, Kuching, tengah hari tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Sim Tan Pheng yang menetap di Lorong Bayor Bukit 22 itu dilaporkan hilang sejak jam 4.00 petang pada Jumaat.
Penemuan mayat itu disahkan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat warga emas berusia 63 tahun itu telah dihantar di Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.
Menerusi kejadian sekitar 12 tengah hari itu, Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dimaklumkan mengenai penemuan satu mayat lelaki di sungai berkenaan.
Bertindak atas maklumat, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai lemas kurang daripada tempoh 24 jam berdasarakan keadaan fizikal mayatnya yang masih dalam keadaan sempurna,” katanya.
Menurutnya mayat itu ditemui dalam keadaan terapung oleh pekerja yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di sungai tersebut.
#warga emas hilang
#mayat terapung
#Tabuan Jaya
#Sungai Pangeran
#Sim Tan Pheng
#Datuk Aidi Ismail
#Kurung Suwen