Warga emas hilang beberapa hari ditemukan lemas

Amirrul Rabbani
Oktober 6, 2022 13:26 MYT
Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu ditemukan maut selepas lemas di sungai dekat Kampung Air Panas Gerik, Gerik, pada Khamis. - Gambar Astro AWANI
GERIK: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu ditemukan maut selepas lemas di sungai dekat Kampung Air Panas Gerik, di sini, pada Khamis.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan, mereka telah menerima maklumat daripada pihak polis berkenaan mayat seorang lelaki berusia 60-an yang ditemukan terapung di sungai pada pukul 9.38 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik kemudiannya telah dikerahkan ke lokasi.
“Pihak kami menerima maklumat berkenaan seorang lelaki yang ditemukan terapung di sungai. Mangsa sebelum itu dipercayai hilang dan lemas beberapa hari lalu.
“Pasukan bomba telah melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang ditemukan terapung kira-kira 5 meter dari tebing sungai.
“Mangsa telah disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Kamarul Ariffin Abdul Ghani.
#warga emas hilang #lemas #Kampung Air Panas Gerik #Balai Bomba dan Penyelamat Gerik
;