Warga emas gelang merah jambu habis minyak ketika ke hospital - Polis

Bernama
Januari 24, 2021 22:24 MYT
Warga emas terbabit terpaksa berhenti untuk mengisi minyak di Masjid Tanah, sebelum dirakam seorang individu dan ditularkan. - Gambar hiasan
ALOR GAJAH: Polis hari ini menjelaskan lelaki warga emas memakai gelang merah jambu yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook kononnya ingkar perintah kuarantin sebenarnya kehabisan minyak ketika dalam perjalanan ke Hospital Alor Gajah (HAG) untuk memotong gelang itu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata disebabkan itu, warga emas berumur 69 tahun terbabit terpaksa berhenti untuk mengisi minyak di Masjid Tanah pada kira-kira 9.54 pagi semalam, sebelum dirakam seorang individu dan ditularkan sehingga menerima pelbagai kecaman.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa telah diarah menjalani kuarantin di rumahnya di Pengkalan Balak bermula 13 Jan lepas hingga semalam dan stesen minyak Petron Masjid Tanah itu merupakan stesen minyak pertama yang dijumpai mangsa dalam perjalanan tersebut.
"Berdasarkan siasatan, lelaki berkenaan dalam perjalanan ke HAG bersama isteri dan anak perempuannya bagi memotong gelang merah jambu itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, lelaki itu hanya mengetahui gambarnya mengisi minyak tersebut tular hari ini selepas dimaklumkan oleh anaknya, sebelum dia membuat laporan polis pada kira-kira 1 tengah hari tadi bagi menjelaskan perkara sebenar selain meminta mereka yang berkenaan memadamkan gambar berkenaan.
Orang ramai juga diminta berhenti menularkan gambar tersebut.
-- BERNAMA
#warga emas #Gelang merah jambu #Tular #WhatsApp #Facebook #Hospital Alor Gajah #kehabisan minyak #ingkar perintah kuarantin #Polis Daerah Alor Gajah
;