Warga emas dituduh rangsang anak tiri 17 tahun lalu
Raffi Bachik
Januari 24, 2018 12:42 MYT
Januari 24, 2018 12:42 MYT
Gara-gara merangsang anak tiri yang ketika itu berusia 8 tahun, seorang warga emas akhirnya didakwa selepas 16 tahun waran tangkap dikeluarkan.
Tertuduh yang berusia 66 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas kesalahan yang dilakukan 17 tahun lalu.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merangsang anak tirinya sekitar jam 8.30 malam di sebuah rumah di Tanjung Kling pada 19 Ogos 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum tiga tahun dan maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan sebatan mengikut seksyen 377E Kanun Keseksaan.
Dalam prosiding, Pendakwa Raya, Siti Ruvina Mohd. Rawi memohon agar tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh hanya berjaya ditangkap pada 22 Januari lalu dan khuatir dia akan melarikan diri serta mengganggu saksi pendakwaan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar diberi jaminan atas alasan dia telah ditangkap pada 2001 dan dilepaskan dengan jaminan polis.
Selain itu, dia tidak mengetahui waran tangkap terhadapnya yang dikeluarkan sejak 7 Mac 2002 dan masih menetap di alamat yang sama.
Hakim Norma kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan jaminan ditarik semula sekiranya ada laporan tertuduh menganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Februari ini.
#anak
#anak tiri
#ayer keroh
#bapa tiri
#haruan makan anak
#mahkamah
#polis
#rangsang anak tiri
#rumah
#Tanjung Kling
#warga emas