Warga emas ditemukan maut selepas bergaduh

Bernama
Julai 27, 2023 18:49 MYT
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.- Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang lelaki warga emas warga tempatan ditemukan maut dengan kesan cedera di mulut, mata dan muka, di tempat letak kereta sebuah hotel di Genting Highlands, selepas dirakam bergaduh di lobi hotel.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata mangsa yang berusia 67 tahun, ditemukan pada 5.39 petang semalam, dalam keadaan terlentang.
"Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, berlaku pergaduhan antara mangsa dengan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun di lobi, sebelum mereka beredar ke tempat letak kereta dan sekali lagi bergaduh.
"Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada salah faham dan tidak puas hati antara mangsa dan suspek, disebabkan bilik hotel," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Zaiham berkata suspek yang mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau, kini direman selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di 09-2222222 atau balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
#warga emas maut #Genting Highlands #bergaduh #lobi hotel
;