Warga emas ditemui meninggal dunia dalam rumah
Sinar Harian
Februari 12, 2021 11:54 MYT
Februari 12, 2021 11:54 MYT
TEMERLOH: Rasa tidak sedap hati seorang lelaki membawa kepada penemuan mayat ayahnya yang ditemui meninggal dunia di rumah keluarganya di Taman Perindu pada Khamis.
Mangsa, Jamil Ismail, 67, yang juga seorang pesara kerajaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, anak lelaki mangsa yang berusia 35 tahun itu, datang ke rumah kira-kira jam 4 petang, untuk melawat ayahnya yang tinggal seorang diri selepas kematian isterinya.
Menurutnya, sampai di tempat kejadian, anak mangsa mendapati pintu grill rumah terbabit berkunci dan beberapa panggilan telefon yang dibuat, tidak dijawab oleh ayahnya.
"Rasa tidak sedap hati menyebabkan anaknya menghubungi pihak bomba dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin datang untuk memotong mangga pada grill pintu rumah terbabit.
"Apabila masuk ke dalam rumah, anaknya mendapati bapanya tidak bergerak dan pengesahan oleh pejabat kesihatan, mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, jiran mangsa memaklumkan warga emas itu hadir ke surau pada waktu Subuh namun tidak muncul ketika solat Zohor.
"Anak mangsa menyatakan ayahnya yang tinggal seorang diri setelah kematian ibu mereka turut mengidap penyakit sawan, darah tinggi dan kolestrol.
"Pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati tiada kecederaan fizikal yang mencurigakan untuk dikaitkan dengan perbuatan jenayah," jelasnya.
Menurutnya Mohd Yusri, keadaan barangan dalam rumah juga berada dalam keadaan kemas selain dokumen mangsa ada bersama warga emas berkenaan.
"Mayat mangsa telah dibawa kepada pihak forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya siasatan lanjut sedang dijalankan.
#mayat
#meninggal dunia
#Jamil Ismail
#Mohd Yusri Othman
#bomba
#Hospital Sultan Haji Ahmad Shah
#temerloh