Warga emas ditemui mati terkunci dalam rumah sendiri
Adie Sufian Zulkefli
Februari 19, 2020 10:47 MYT
Februari 19, 2020 10:47 MYT
Misteri seorang lelaki warga emas tidak kelihatan sejak dua hari lalu terjawab apabila dia ditemukan mati terkunci sendirian di dalam rumah di Alor Malai, Alor Setar, Kedah, pada Selasa malam.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.26 tengah malam daripada orang awam memaklumkan mangsa terperangkap di dalam rumah.
Anggota bomba terpaksa mengumpil pintu rumah untuk memasuki rumah mangsa dan menemui mayat Wan Zulkifli Wan Jafar, 70, dalam keadaan sudah kembung.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar bersama tujuh anggota dikejar ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian, jiran mangsa memaklumkan mereka tidak melihat kelibat mangsa sejak dua hari lalu dan rumah mangsa juga berkunci dari dalam.
“Selepas mendapat kebenaran daripada ahli keluarga mangsa pihak bomba megumpil pintu dengan menggunakan peralatan khas,” katanya.
Tambah Mohamadul Ehsan, selepas pintu berjaya dibuka, anggotanya menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam rumah berkenaan.
Mangsa kemudian disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak hospital.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
#Alor Setar
#Hospital
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#Kedah
#lelaki
#mangsa
#mayat
#meninggal dunia
#polis
#warga emas