Warga emas ditemui mati dalam keadaan bogel
Bernama
Disember 26, 2012 16:22 MYT
Disember 26, 2012 16:22 MYT
Seorang lelaki warga emas ditemui mati dalam keadaan bogel dengan kaki dan tangan terikat selain kepalanya ditutup dengan sehelai kain sarung di sebuah rumah di Jalan Rasah, di Seremban Rabu.
Mayat Edward Rajasooria Sebastian, 62, dijumpai kira-kira 9 pagi di dalam sebuah bilik rumah tersebut oleh sepasukan anggota polis.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata seorang jiran mangsa menghubungi polis selepas mendapati lelaki itu tidak keluar dari rumahnya sejak petang semalam.
"Selepas menerima panggilan itu, beberapa anggota polis yang tiba memeriksa rumah tersebut dan mendapati pintu hadapan rumah berkenaan tidak berkunci sebelum menjumpai mayat lelaki itu di dalam sebuah bilik.
"Seorang jiran mangsa memberitahu biasanya lelaki itu akan keluar rumah pada waktu malam untuk makan dan minum di sebuah gerai berhampiran, tapi sejak petang semalam lelaki itu tidak kelihatan sehingga menimbulkan perasaan curiga sebelum jiran itu bertindak menghubungi polis," katanya hari ini.