Warga emas ditahan cuba sogok polis, kes dadah

Sinar Harian
Jun 18, 2022 04:40 MYT
Seorang warga emas ditahan kerana cuba menyogok anggota polis yang menjalankan pemeriksaan terhadapnya di hadapan sebuah kondominium di Brickfields di sini, pada Jumaat. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang warga emas ditahan kerana cuba menyogok anggota polis yang menjalankan pemeriksaan terhadapnya di hadapan sebuah kondominium di Brickfields di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, lelaki berusia 61 tahun itu menawarkan RM4,000 kepada anggota Unit Peronda Bermotosikal (URB) sebagai imbuhan untuk melepaskannya yang turut ditahan atas kesalahan memiliki dadah.
"Suspek menawarkan wang sogokan dan cuba memberi rasuah wang tunai RM4,000 kepada anggota polis bagi melepaskannya untuk kesalahan memiliki dadah.
"Suspek diberi amaran sebanyak tiga kali namun dia tidak peduli. Dia ditahan atas kesalahan cuba merasuah anggota polis," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Amihizam berkata, polis menemui satu bungkus plastik hitam mengandungi bahan disyaki dadah jenis ketamin dianggarkan seberat lima gram (g) dan dua peket serbuk dipercayai methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 85g.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek yang merupakan warga tempatan positif dadah jenis methamphetamin, amphetamin dan ketamin.
"Keseluruhan dadah dirampas dianggarkan bernilai RM5,000 dan wang tunai yang dirampas berjumlah RM4,000," katanya.
Amihizam berkata, suspek direman lima hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kesalahan cuba merasuah anggota polis akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
*Berita asal disiarkan di Sinar Harian
#Dadah #warga emas #rasuah anggota polis #methamphetamin
;