Warga emas disaran mainkan peranan aktif hentikan COVID-19 - Pakar Kesihatan

Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed, Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
Jun 4, 2021 11:23 MYT
Walaupun bilangan pesakit warga emas agak kurang, tetapi sebilangan besar kes kematian adalah dalam kalangan warga emas - Gambar hiasan/BERNAMA
KITA sedia maklum bahawa bilangan kes di Malaysia sekarang berada pada tahap yang menakutkan. Statistik menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada pesakit di negara kita adalah golongan muda dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun.
Mereka ini kebanyakannya tidak bergejala dan tidak memerlukan rawatan di hospital atau Unit Rawatan Rapi (ICU). Walaupun bilangan pesakit warga emas agak kurang, tetapi sebilangan besar kes kematian adalah dalam kalangan warga emas.
Selain faktor umur, penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, kegagalan buah pinggang dan lemah jantung merupakan faktor yang menyebabkan seseorang mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk.
Baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Nor Hisham Abdullah melaporkan bahawa bilangan katil ICU berada pada tahap sangat kritikal.
Pada ketika ini, para doktor perlu membuat keputusan sukar untuk memilih pesakit yang patut diberikan katil rawatan di ICU. Secara logiknya, mereka yang mempunyai potensi yang tinggi untuk pulih, akan dipilih.
Mereka yang sudah berumur dan mempunyai penyakit tiga atau 4empat serangkai mempunyai kebarangkalian untuk pulih yang agak rendah. Justeru, mereka bukanlah calon terbaik untuk menghuni ICU walaupun keadaan mereka agak kritikal. Perkara ini sudah pasti menakutkan golongan warga emas. Bimbang jika dimasukkan ke hospital, tidak lagi kembali berpeluang ke rumah sebaliknya kembali ke negeri abadi.
Apakah yang perlu warga emas lakukan? Bagaimanakah caranya untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin?
Paling penting, warga emas perlu mendaftar untuk dapatkan vaksin bagi mencegah COVID-19. Pepatah mengatakan, mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Vaksin COVID-19 yang ada di Malaysia telah dibuktikan selamat dan berkesan. Ia juga telah difatwakan harus oleh badan agama di seluruh dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri adalah antara individu yang terawal menerima vaksin COVID-19.
Kerajaan Arab Saudi pula mensyaratkan hanya individu yang telah menerima vaksin boleh masuk ke negara mereka untuk mengerjakan haji atau umrah. Ini menunjukkan betapa seriusnya agama Islam meletakkan kepentingan memelihara nyawa dan mengelakkan penyebaran penyakit.
Selain pendaftaran di portal MySejahtera, pendaftaran boleh dilakukan di laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my.
Selain itu, pendaftaran boleh dilakukan di pejabat-pejabat kesihatan dan klinik kesihatan yang berhampiran. Kami juga menggesa agar anak-anak dan saudara mara terdekat supaya memainkan peranan aktif membantu dalam proses pendaftaran warga emas. Ini adalah mat penting supaya golongan rentan ini dilindungi segera.
Walaupun tidak mendapat keutamaan untuk katil ICU, kerajaan telah memberikan keutamaan kepada warga emas untuk mendapat vaksin lebih awal daripada golongan muda.
Rebut peluang ini! Kami bimbang, jika golongan warga emas tidak mendaftar sekarang, vaksin akan habis diberikan kepada golongan muda. Lihat sahaja apa yang berlaku apabila kerajaan membuka peluang untuk mendaftar vaksin AstraZeneca, laku seperti goreng pisang panas!
Kami nasihatkan, kita semua agar tidak cepat percaya dengan khabar-khabar negatif tentang vaksin. Tidak perlu juga ‘forward’ cerita-cerita atau berita yang tidak pasti kesahihannya kepada ahli keluarga dan sahabat handai.
Sekiranya menerima cerita sebegini, biarkan ia berakhir di telefon bimbit kita sahaja. Hentikan rantaian berita palsu dengan tidak menghantar kepada orang lain serta menghapuskannya dengan segera.
Mungkin kita semua tertanya-tanya adakah kita sudah boleh melupakan SOP setelah menerima vaksin? Adakah anak cucu kita bebas rentas daerah melawat kita?
Setelah mendapat vaksin, kita masih perlu mematuhi SOP iaitu kerap basuh tangan, penjarakan fizikal, memakai pelitup. Kita juga harus mengelakkan daripada berkumpul beramai-ramai, mengunjungi sanak-saudara dan sahabat handai.
Warga emas khususnya ibu bapa tidak perlu berasa sedih seandainya anak-anak tidak pulang ke kampung. Sebenarnya, anak-anak anda boleh menjadi ‘pembunuh senyap’.
Sudah banyak yang kita dengar bagaimana anak-anak yang tidak bergejala menyebabkan jangkitan kepada ibubapa tanpa sengaja. Sekiranya anak ingin pulang menziarah, anda boleh menunjukkan rasa sayang dengan menghalang kepulangan mereka.
Buat masa ini, kekal di tempat masing-masing adalah cara yang terbaik bagi memutuskan rantaian penyakit COVID-19.
Sekiranya kita rindukan anak dan cucu, manfaatkan teknologi dengan menggunakan aplikasi panggilan video, bersembang menggunakan whatsapp, bertukar gambar dan sebagainya.
Anak-anak yang tidak pulang ke kampung bukanlah bermakna tidak sayang pada ibu bapa. Disebabkan sayanglah mereka sanggup menahan kerinduan kepada ibubapa. Akan tiba masanya suatu hari nanti untuk kita kembali hidup seperti biasa.
Warga emas terutamanya yang menghidap pelbagai penyakit kronik tidak digalakkan untuk keluar ke tempat awam yang sesak seperti pasar dan pusat membeli belah.
Ini adalah kerana tempat sebegini boleh menyebabkan penyebaran jangkitan terutamanya jika penjarakan fizikal tidak dipatuhi. Lagipun, warga emas mempunyai daya ketahanan badan yang rendah yang menyebabkan senang mendapat jangkitan.
Oleh yang demikian, warga emas disarankan untuk minta tolong anak-anak menguruskan pembelian atas talian atau ‘online’. Pembelian atas talian boleh dilakukan oleh anak di bandar untuk dihantar barang-barang keperluan anda di kampung ataupun di tempat lain.
Yang penting ialah alamat penghantaran yang betul. Sekiranya tidak ada kemudahan untuk pembelian atas talian ataupun belum mahir menggunakan aplikasi atas talian, minta bantuan jiran atau anak yang tinggal berhampiran untuk membeli barang-barang keperluan.
Barangan boleh ditinggalkan di depan rumah tanpa perlu berjumpa dengan penghantar. Jika perlu berjumpa dengan orang luar, pastikan memakai pelitup muka dan mencuci tangan.
Kesimpulannya, tatkala kenaikan jumlah kes harian dan jumlah kematian yang menggerunkan, kita semua hendaklah secara bersama menghentikan penularan wabak COVID-19.
Pengambilan vaksin adalah antara cara yang terbukti berkesan. Kebanyakan negara yang telah berjaya memberikan vaksin kepada lebih separuh penduduk mereka,mencatatkan jumlah kematian yang rendah dan kadar kes yang menurun.
Sehingga kita semua dilindungi dan mencapai imuniti kelompok, kita semua hendaklah kekal menjaga SOP dan mengelakkan melakukan aktiviti secara berkumpulan yang boleh menyebabkan penularan COVID-19.

PROF MADYA DR NURUL AZMAWATI MOHAMED

Pakar Mikrobiologi Klinikal
Universiti Sains Islam Malaysia
PROF MADYA DR MOHD DZULKHAIRI MOHD RANI
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Universiti Sains Islam Malaysia
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan sidang pengarang Astro AWANI.

#vaksinasi #Warga emas vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Warga emas COVID-19 #Penyakit tiga serangkai #DG Noor Hisham #Covid-19 Malaysia #Daftar Vaksin #PKP 3 0